Oleh: Nars JM
Satu kelainan daripada dua artis ini. Mereka bergabung dalam satu album yang dipanggil 'Yahai', diterbitkan oleh SiMusic Studio. Sebelum ini kedua-dua artis ini sudahpun mempunyai album solo masing-masing. Ateng terkenal dengan lagu 'Norubat Piginawaan' sementara Benn pula terkenal dengan lagu 'Binsorou Mamatos Kolungguian'. Sememangnya kedua-dua artis ini mempunyai keunikan suara tersendiri dan sangat berbakat lagi kreatif. Ateng dan Benn bukan sahaja boleh menyanyi tetapi juga mahir bermain alat-alat muzik. Kesemua susunan muzik dalam album 'Yahai' digubah dan dimainkan oleh Ateng dan Benn. Proses 'mastering' juga dibuat oleh Benn sendiri. Rakaman dan pembikinan album 'Yahai' ini dibuat sepenuhnya di SiMusic Studio (SMS). Simon Bukag bertindak sebagai Penerbit Eksekutif album 'Yahai' manakala Narsisius Justin Misin sebagai Penerbit Album.
Album 'Yahai' memuatkan 11 buah lagu dalam pelbagai rentak yang pasti akan memenuhi kehendak para peminat khasnya di Sabah. Sebanyak 8 buah lagu dalam Bahasa Dusun, sebuah lagu dalam Bahasa Kadazan (ciptaan Ateng), sebuah lagu dalam Bahasa Melayu (ciptaan Ateng) dan sebuah lagu lagi dalam Bahasa Inggeris (ciptaan Ateng). Sebuah lagu bertajuk 'Ginawo Ku Lumunggui' yang dinyanyikan secara duet oleh Ateng dan Benn adalah ciptaan Narsisius Justin Misin sementara yang selebihnya adalah ciptaan Ateng dan Benn.
Pelancaran album 'Yahai' akan diadakan secara rasmi di Buhavan Square, Donggongon, Penampang pada 20 December 2007 ini. Pada hari yang sama juga, ada 4 buah album lagi akan dilancarkan bersama-sama dengan album 'Yahai' iaitu album 'Duo Nosili Iso' (Francis Anahong), album 'Butia Tobulou' (Jovita Robert Johnny), album 'Kolumiso' (David Pinus) dan album 'Iti Noh RalanKu' (Narsisius Justin Misin).
Sempena pelancaran album-album yang tersebut di atas, pihak penganjur telah menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik bermula dari jam 10.00 pagi sehingga jam 5.00 petang. Antaranya ialah pertandingan nyanyian terbuka kepada semua lapisan masyarakat warga negara Malaysia. Untuk keterangan lanjut anda boleh menghubungi pihak penganjur Simon Bukag (0168010040) dan Narsisius Justin Misin (0168447514).
Pihak penganjur juga akan memberi tiket cabutan bertuah secara percuma kepada para pembeli produk atau album terbitan TJC dan SMS pada masa itu. Pihak penganjur telah menyediakan hadiah-hadiah yang menarik dan mungkin anda orang yang bertuah pada masa itu.
Acara kemuncak bermula pada jam 2.00 petang iaitu majlis perasmian dan persembahan daripada Ateng, Benn S. Bukag, Jovita Robert Johnny, David Pinus, Francis Anahong dan Narsisius Justin Misin. Turut diundang membuat persembahan ialah Juara Suara Emas Bintang RTM 2007 Reynaldo Paggie, Danny F. Malinggi dan S. Welly. Datanglah beramai-ramai ke Buhavan Square Donggongon dan saksikan kehebatan artis-artis tempatan kita dan jangan lepaskan peluang untuk bertemu dengan artis-artis kesayangan anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan