Credit to Alfred Wallace (fb)
Sejarah yang diajar di sekolah boleh dikatakan 5% terutamanya yang berkaitan penentangan masyarakat di Sabah terhadap company british/SYARIKAT BORNEO UTARA BRITISH(SBUB).Hal ini demikian kerana buku sejarah tersebut lebih tertumpu kepada penentangan orang melayu terhadap british di Tanah Melayu.
Di bawah ialah kronologi penentangan Orang Dusun selama 22 tahun..
1883 M: pemimpin Dusun pedalaman yang berpengaruh bernama Kandurong, yang berasal dari Tambunan, telah berpindah ke Ulu Papar telah berperang dengan British di bawah pimpinan de Fontaine (Black, 1970:236, 238-239).
1886 M: Gadong, pemimpin Dusun dari Ulu Tempasuk menyerang wilayah British di Tuaran. Pihak Company British membalas, lapan buah kampung Dusun dibakar oleh pihak Company British (Black, 1970:237
1888 M: sekali lagi Company British berperang melawan Kandurong. Perkampungan-perkampungan Dusun yang melawan Company British mulai dari Dampong sampai ke Bankau di Pergunungan Crocker, dibakar oleh pasukan Company British. Ketua-ketua kampung Dusun yang kalah perang, terpaksa berdamai dengan pihak British, tetapi Kandurong pula terus menentang British bersama pengikutnya (Black, 1970:238).
1889 M: Dusun Gapo di Ranau menentang British di bawah pimpinan Gunsia. Gunsia kemudian ditangkap dan dipaksa untuk membawa lima puak Dusun untuk bersumpah taat setia kepada kerajaan Company British dan berhenti melakukan aktiviti memburu kepala (Black, 1970:254-256).
1890 M: kaum Dusun Nelumat Ranau bangkit menentang Company British. Mereka menyerang rumah wakil British di Lingkabau. Dunlop melakukan serangan balas. Dalam serangan ini, Kg. Sinarut dan kampung sekitarnya menyerah kalah, Kg. Bandukan dan dua perkampungan lain dibakar oleh pasukan Company British (Black, 1970:256-257).
1892 M: setelah berperang selama sembilan tahun, Kandurong berdamai dengan pihak British (Black, 1970:238). Para pengikutnya yang lain terus menentang Company British (Black, 1970:239).
1894 M: Si Gunting, pemimpin Dusun Liwan melancarkan perang ke atas British, kerana memprotes perlakuan seorang kerani British terhadap adat istiadat Dusun di samping sikap British yang tidak begitu mengendahkan komplennya (Rutter, 1922:185). Balai polis di Serinsim dibakar, kemudian beliau mendirikan kubu di Kg. Sayap Kota Belud dan satu lagi di kaki Gunung Tambuyukon di Ranau (Rutter, 1922:185-186, 214). Si Gunting berperang dengan British dari 1894-1905, selama Sembilan tahun, sebelum beliau berdamai dengan British pada tahun 1905. Beliau meninggal pada tahun 1906, di usia 47 tahun (Black, 1970:301-302).
1896 M: Pemberontakan Dusun Kujau di Keningau (Rutter, 1922:187). Penentangan ini berjaya dihentikan oleh E.H. Barraut. Sebanyak lapan pemimpin Dusun Kujau ditangkap, kaum Dusun Kujau diminta bersumpah setia dengan Company. Sebanyak 200 orang lelaki Dusun Kujau kemudian dihukum menjadi buruh membuat jalan Keningau-Kimanis (Rutter, 1922:188). Selain itu, Dusun Kujau yang terlibat dalam penentangan juga diarahkan untuk memindahkan kampung-kampung mereka dekat dengan stesyen Company British (Black, 1970:290).
1898 M: Dusun Tambunan, terutama Liwan dan sekutu-sekutunya menentang British dari memasuki Tambunan (The Age, Wed 6 Sep 1899, p.11), di bawah pimpinan Sompuun dan Dumkian. Sompuun dan Dumkian telah berperang melawan Mat Salleh yang ketika itu telah bersekutu dengan suku Dusun Tagahas. Menurut catatan British, Sompuun dan Dumkian merupakan antara dua pemimpin Dusun yang berpengaruh di Tambunan. Sompuun dicatatkan mentadbir tujuh buah kampung dan Dumkian pula mentadbir dua buah kampung.
1899 M: Gabenor L.P. Beaufort sampai ke Keningau pada awal tahun 1899, bersama D.O. Mr. Fraser dan polis pengiring, mereka telah pergi ke Tambunan dan berdamai dengan suku Dusun Tambunan (The North Borneo Herald, No. 10, Vol. XXX III,1915).
1900 M: sebanyak 1000 orang Dusun bersama 300 orang Bajau-Suluk-Iranun dari pasukan Mat Salleh kalah perang dengan Company British di Tambunan. Maka berakhirlah penentangan Dusun Tambunan terhadap British (Tregonning, 1967:206). Sebanyak 93 orang pengikut Mat Salleh terbunuh, sementara sekutu Dusun mereka pula antara 200-300 terbunuh (The North Borneo Herald, No. 10, Vol. XXX III, 1915), ada laporan lain mengatakan 1000 orang keseluruhannya terbunuh.
1902 M: Si Langkap atau Dato Muda Malankapi, salah satu pahlawan Dusun yang memberontak melawan British dihukum mati di sebuah bukti dekat Abai (Black, 1970:343)
1905 M: pejuang Dusun yang menentang Company British, iaitu Si Gunting, berdamai dengan British. Setahun kemudian dia meninggal di usia 47 tahun (Rutter, 1922:214; Black, 1970:302). Maka, berakhirlah penentangan Dusun terhadap Company British yang terjadi selama 22 tahun, dari 1883-1905.
Kita sepatutnya bangga sebab masyarakat kita yang pernah terlibat mempertahankan Tanah Negeri Dibawah Bayu ini sebagaimana orang melayu mempertahankan Tanah Melayu. Persoalannya menggapakah kisah tentang perjuangan ini tidak pernah ditulis dalam buku sejarah ?